Macam - Macam : Tips Perkahwinan.

Kuasa Cincin Pengikat 2 Hati

CINCIN memainkan peranan penting dalam majlis perkahwinan. Berbanding aksesori lain, cincin bagaikan ‘kepala’ sama ada dalam adat pertunangan mahupun perkahwinan. Malah, bagi adat merisik, hanya cukup membawa sebentuk cincin sebagai tanda hasrat hati untuk menyunting gadis idaman.

Begitu juga dengan majlis pertunangan. Seseorang gadis itu akan sah menjadi tunangan orang apabila cincin hantaran sudah disarungkan di jari manis. Malah, dalam adat istiadat Melayu, bagi acara pernikahan, adat menyarung cincin bagaikan satu kemestian dilakukan walaupun hanya akad diwajibkan.
Begitu pun sejak kebelakangan ini, ada pasangan yang inginkan kelainan dengan menggunakan barang kemas lain seperti gelang tangan dan rantai leher berbanding cincin pada upacara pernikahan mungkin kerana cincin sudah diberikan pada majlis merisik dan pertunangan.

Bagaimanapun, kuasa cincin dalam majlis perkahwinan tetap relevan. Tidak semua yang menggantikan cincin dengan barang kemas lain terutama mereka yang berpegang teguh kepada adat istiadat setempat.

Jika anda sedang merancang untuk menamatkan zaman bujang dan sedang mencari cincin bersesuaian dengan pasangan anda, beberapa perkara perlu diambil kira dalam memilih cincin bersesuaian kerana pemilihan cincin buat seorang wanita sememangnya haruslah sempurna.

Ingatlah, cincin mencerminkan personaliti wanita berkenaan. Warna, jenis batu dan bentuk potongan batu dan cincin memainkan peranan yang penting. Sebagai contoh, warna dikatakan mencerminkan emosi dan personaliti seorang wanita. Misalannya warna biru dikatakan membawa makna ketenangan.

Jenis batu pula menonjolkan kepada semua apakah jenis gaya yang dimiliki seorang wanita itu. Lazimnya, untuk pertunangan atau perkahwinan berlian yang dianggap teman baik wanita menjadi pilihan.

Jangan bimbang jika anda hendak membeli cincin berlian, tetapi si gadis meminati warna tertentu kerana hari ini berlian juga didatangkan pelbagai warna. Berlian berwarna merah jambu mengatakan seseorang itu unik dan menuntut perhatian daripada semua setiap kali beliau berjalan masuk ke bilik.

Potongan batu juga berperanan besar terutama berlian. Ada empat ciri potongan yang ketara perbezaannya di antara satu sama lain, iaitu potongan kusyen, pir, zamrud dan hati. Potongan kusyen mempunyai sifat antik dengan gaya romantik serta kelihatan klasik, manakala potongan pir pula dibentukkan seperti setitis air lebih sesuai dijadikan buah rantai atau sepasang subang.

Potongan zamrud juga dipanggil step cut kerana ia mempunyai ciri yang amat teguh dan leperkan serupa seperti tangga. Potongan hati amat sinonim dengan sifat romantik dan banyak digunakan bagi cincin pertunangan untuk melambangkan cinta sejati.

Sentuhan sempurna sebentuk cincin datangnya daripada jenis bahan yang digunakan bagi mengikat batu permata pilihan hati sebagai sentuhan terakhir cincin berkenaan.

Wanita membeli cincin bukan hanya kerana mereka ingin berkahwin atau bertunang, tetapi juga kerana mereka ingin memakai aksesori yang senang dipakai dan pada masa sama mempunyai impak kuat pada penampilan. Sebab itulah wanita sanggup membeli sebentuk cincin yang beribu harganya.

FAKTA

Panduan untuk memilih berlian

Rujuk kepada 4C-Carat, Clarity, Colour, Cut

* Carat merujuk kepada berat berlian berkenaan. Lebih karat bermakna lebih berat tapi tidak selalunya lebih mahal.
* Clarity bermakna kejernihan. Butiran kecil-kecilan yang tidak boleh dilihat mata kasar sering kali ada dalam batu berlian kerana cara ia dihasilkan. Lebih kurang butiran kecil itu bermakna lebih baik.
* Colour, iaitu warna bermaksud jika ia lebih kurang warnanya dan lebih dekat kepada tiada warna langsung bermakna batu itu lebih bernilai.
* Cut atau potongan ialah satu-satunya ciri yang boleh diubahsuai. Potongan pada berlian amat penting, lebih licin potongannya bermakna lebih bernilai jika cara potongannya betul.

Panduan memilih batu permata

Dilihat sebagai batu bernilai dan berharga, seseorang itu haruslah memilihnya berdasarkan warna, keunikan, bentuk kristal yang dijadikan dan ciri optik. Pakar permata mengatakan ada lima jenis batu permata yang dikategorikan sebagai amat berharga iaitu berlian, delima, zamrud, nilam dan kecubung.

Panduan memilih mutiara

Kilauan, warna, saiz dan bentuk simetri. Saiz itu penting dan dikatakan lebih besar mutiara itu lebih bernilai. Walaupun mutiara mempunyai lapan jenis bentuk, bentuk bulat yang sempurna dikatakan paling berharga kerana sukar ditemui. Mutiara ternakan lebih murah berbanding mutiara asli, tetapi tidak lari kualitinya.